Thursday, 25 May 2017

ULASAN ARTIKEL 1

TAJUK            : Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE Frog) : Penilaian Kendiri                          Guru Matematik Sekolah Rendah
PENULIS        : Ila Husna Binti Mohd Ali (2015)

Tujuan kajian ini adalah untuk menilai sejauh mana elemen-elemen konteks, input, dan proses mempengaruhi produk iaitu tahap penggunaan VLE Frog dalam pengajaran dan pembelajaran matematik sekolah rendah. Kajian ini dijalankan untuk melihat penilaian kendiri guru matematik terhadap VLE Frog di Daerah Manjung, Perak yang melibatkan 120 responden dengan menggunakan Model CIPP yang telah disesuaikan dengan isu kajian. Penilaian kendiri guru matematik dilihat melalui kaedah tinjauan yang menggunakan instrumen soal selidik rubrik dua lapis. Dalam kajian ini, analisis deskriptif dan inferensi dilaksanakan selain pembentukan tema ke atas satu soalan terbuka. Hasil kajian mendapati penilaian kendiri guru dalam konteks, input, dan proses pelaksanaan VLE Frog masih kurang memberangsangkan dan belum mencapai matlamat yang diharapkan di mana tahap penggunaan dan kesesuaian VLE Frog yang masih rendah dalam penilaian produk. Ini kerana kajian ini memfokuskan kepada pengumpulan maklumat yang bertujuan untuk membuat keputusan selain dijadikan panduan untuk memantapkan lagi platform pembelajaran maya ini sama ada di peringkat perancangan, penyusunan, pelaksanaan, dan penghasilan agar penambahbaikan secara berterusan dapat dilaksanakan. Kajian juga mendapati, guru-guru tidak menafikan bahawa penggunaan VLE Frog dalam PdPc matematik mampu memberi impak yang positif terhadap guru dan murid.


Pada pendapat saya, responden yang terdiri daripada kelompok guru yang mempunyai pengalaman mengajar lebih daripada sepuluh tahun secara tidak langsung mempengaruhi dapatan kajian. Malahan penulis turut menyatakan bahawa keputusan untuk menyokong atau menentang sesuatu perubahan adalah secara tidak langsung akan dipengaruhi oleh pengalaman seseorang. Oleh itu, saya berpendapat bahawa kajian ini akan lebih signifikan jika responden terdiri daripada pelbagai peringkat umur atau pengalaman mengajar. Namun begitu, saya menyokong penyataan penulis yang menyatakan penggunaan VLE Frog dalam PdPc matematik mampu memberi impak yang positif terhadap guru dan murid. Saya juga bersetuju dengan pendapat yang dinyatakan oleh guru-guru yang penggunaan VLE Frog dapat memudahkan dan menjimatkan masa guru jika dipraktikkan secara berterusan.

No comments:

Post a Comment