Thursday, 25 May 2017

ULASAN ARTIKEL 1

TAJUK            : Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE Frog) : Penilaian Kendiri                          Guru Matematik Sekolah Rendah
PENULIS        : Ila Husna Binti Mohd Ali (2015)

Tujuan kajian ini adalah untuk menilai sejauh mana elemen-elemen konteks, input, dan proses mempengaruhi produk iaitu tahap penggunaan VLE Frog dalam pengajaran dan pembelajaran matematik sekolah rendah. Kajian ini dijalankan untuk melihat penilaian kendiri guru matematik terhadap VLE Frog di Daerah Manjung, Perak yang melibatkan 120 responden dengan menggunakan Model CIPP yang telah disesuaikan dengan isu kajian. Penilaian kendiri guru matematik dilihat melalui kaedah tinjauan yang menggunakan instrumen soal selidik rubrik dua lapis. Dalam kajian ini, analisis deskriptif dan inferensi dilaksanakan selain pembentukan tema ke atas satu soalan terbuka. Hasil kajian mendapati penilaian kendiri guru dalam konteks, input, dan proses pelaksanaan VLE Frog masih kurang memberangsangkan dan belum mencapai matlamat yang diharapkan di mana tahap penggunaan dan kesesuaian VLE Frog yang masih rendah dalam penilaian produk. Ini kerana kajian ini memfokuskan kepada pengumpulan maklumat yang bertujuan untuk membuat keputusan selain dijadikan panduan untuk memantapkan lagi platform pembelajaran maya ini sama ada di peringkat perancangan, penyusunan, pelaksanaan, dan penghasilan agar penambahbaikan secara berterusan dapat dilaksanakan. Kajian juga mendapati, guru-guru tidak menafikan bahawa penggunaan VLE Frog dalam PdPc matematik mampu memberi impak yang positif terhadap guru dan murid.


Pada pendapat saya, responden yang terdiri daripada kelompok guru yang mempunyai pengalaman mengajar lebih daripada sepuluh tahun secara tidak langsung mempengaruhi dapatan kajian. Malahan penulis turut menyatakan bahawa keputusan untuk menyokong atau menentang sesuatu perubahan adalah secara tidak langsung akan dipengaruhi oleh pengalaman seseorang. Oleh itu, saya berpendapat bahawa kajian ini akan lebih signifikan jika responden terdiri daripada pelbagai peringkat umur atau pengalaman mengajar. Namun begitu, saya menyokong penyataan penulis yang menyatakan penggunaan VLE Frog dalam PdPc matematik mampu memberi impak yang positif terhadap guru dan murid. Saya juga bersetuju dengan pendapat yang dinyatakan oleh guru-guru yang penggunaan VLE Frog dapat memudahkan dan menjimatkan masa guru jika dipraktikkan secara berterusan.

ULASAN ARTIKEL 2

TAJUK            : Pembangunan Perisian Matematik Bulatan I dan Kesan
Penggunaannya Terhadap Murid Bermasalah Pendengaran
PENULIS        : Low Gaik See (2014)

Kajian ini bertujuan membangun Perisian Program Pengajaran dan Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK) Bulatan I sebagai bahan bantu mengajar yang menggunakan pendekatan tutorial berdasarkan Model ADDIE dan menilai perisian tersebut serta melihat kesan penggunaannya terhadap murid bermasalah pendengaran dalam topik Bulatan I. Kajian kuasi-eksperimental dengan gabungan pendekatan kuantitatif dan kualitatif telah dijalankan ke atas 10 orang murid tingkatan dua di sekolah menengah yang melaksanakan program integrasi pendidikan khas bermasalah pendengaran di negeri Perak. Pada keseluruhannya, pakar penilai memberi penilaian pada tahap yang tinggi (min=4.26) terhadap perisian tersebut. Hasil analisis menunjukkan PPBK telah memberi kesan positif terhadap murid bermasalah pendengaran kumpulan rawatan (min=11.20) dibanding dengan kumpulan kawalan (min=7.60) dalam pencapaian matematik. Soal selidik mendapati kumpulan rawatan mempunyai motivasi pada tahap sangat positif terhadap PPBK dalam matematik. Implikasinya, perisian PPBK ini boleh diperluaskan penggunaannya kepada murid bermasalah pendengaran dalam pengajaran mata pelajaran matematik.


Kajian yang dilakukan oleh penulis dapat mendedahkan murid pendidikaan khas kepada bidang yang lebih mencabar supaya mereka dapat maju seiring dengan murid tipikal yang lain. Justeru itu, penggunaan ICT perlu dititikberatkan dalam pendidikan khas. Namun untuk melaksanakan program ini, sesebuah sekolah memerlukan modal yang besar. Ini kerana, penyediaan komputer hendaklah mencukupi bagi melaksanakan program ini dengan berjaya. Selain itu, penyelenggaraan komputer juga hendaklah dilakukan secara berkala bagi mengelakkan berlakunya kerosakan terhadap komputer. Kesimpulannya, pihak kerajaan dan juga pihak sekolah hendaklah bekerjasama bagi melaksanakan program ini dengan jayanya.

Tuesday, 23 May 2017

ULASAN ARTIKEL 3

TAJUK            : Kesan Penggunaan Modul Pengintegrasian
Geogebra Topik Trigonometri Terhadap
Pencapaian dan Motivasi bagi Murid
Berpencapaian Rendah
PENULIS        : Muhamad Hafizhuddin Abdul (2016)

Kajian ini bertujuan membina Modul Pengintegrasian GeoGebra topik Trigonometri II serta menilai kesan penggunaannya dari segi pencapaian dan motivasi bagi murid berpencapaian rendah. Kaedah gabungan eksplanatori dan kuasi-eksperimen digunakan bagi menjawab soalan kajian. Seramai 47 orang murid dari sebuah sekolah menengah di Muar, Johor terlibat di dalam kajian ini. Hasil dapatan kajian ini mendapati murid yang menjalani PdP Modul Pengintegrasian GeoGebra menunjukkan pencapaian yang lebih baik berbanding murid kumpulan tradisional serta mempunyai tahap motivasi yang positif terhadap bahan pembelajaran. Implikasi kajian ini menunjukkan penggunaan perisian GeoGebra yang digabungkan dengan modul bertulis berpotensi digunakan terhadap murid berpencapaian rendah bagi meningkatkan pencapaian dan mengekalkan motivasi.

Berdasarkan artikel ini, penulis menganalisis data secara deskriptif dan inferensi. Hasil dapatan kajian juga disokong dengan analisis ANCOVA dan ujian-t yang menunjukkan min markah murid kumpulan rawatan mengatasi min markah murid kumpulan kawalan secara signifikan. Selain itu, melalui analisis soal selidik dan temu bual, murid kumpulan rawatan mempunyai tahap motivasi yang tinggi terhadap Modul Pengintegrasian GeoGebra. Analisis data yang dilakukan oleh penulis adalah jelas dan teratur serta dihurai dengan baik. Saya menyokong pendapat yang dinyatakan oleh penulis dalam artikel ini iaitu Modul Pengintegrasian GeoGebra adalah sesuai diaplikasikan di sekolah.